Disebalik Cinta Allah Dan Rasul

Disebalik Cinta Allah Dan Rasul

Wednesday, 14 October 2015

Ilmu Parenting: Anak-anakku soleh

Anak-anak kita hari ini tumbuh membesar dalam cengkaman budaya hedonistik yang bermahajalela, tenggelam dalam lautan nafsu syahwat yang buas. Benih yang lahir dari sulbi ummah ini adalah benih yang lemah, hilang jati diri, mandul budi pekerti sehingga mereka di seret jauh dari panduan dan bimbingan ilahi.
Anak-anak hari ini adalah anak-anak yang mengkagumi budaya negeri matahari terbit, terpesona dan terkesima dengan sogokan pemikiran amerikanisasi. Lihatlah gelagat dan perilaku mereka, sekerat muslim sekerat sekular. Seolah-olah, dunia tanpa sempadan ini, alaf gajet dan millinium adalah tuhan baharu di dalam kehidupan mereka. Hedonistik dan materialistik menjadi berhala sembahan mereka dek kerana ketempangan daya tahan diri lantaran serangan liberalisasi  dan sekularisasi. Bagaimana lah nasib anak ku nanti. Dalam hati aku memohon, semoga mereka selamat daripada serangan pemikiran dewasa kini.

"Sayang, sayang okay ke?", suamiku bertanya dari dalam bilik. Tetapi aku tidak menyahut.

"Sayang." Dia memegang bahu ku. "Sayang okay ke ni?Abang risau. Kalau tak okay kita pergi klinik ya.", tambah suamiku. Dia kelihatan risau. Suamiku memang seorang yang prihatin. Sedangkan waktu aku berbadan satu pun dia sudah gelisah kalau aku jatuh sakit, ini kan pula bila aku sudah berbadan dua.

"Ya, abang. Maafkan sayang. Sayang tengah berangan tadi, Berangan pasal anak kita ni sampai tak perasan abang panggil sayang" jawabku manja. 

"Oo, ummi berangan pasal adik sampai lupa kat abi ya, jelous abi", jawab suami ku sambil memegang perut ku. Kami ketawa gembira. 

Ya, sebagai seorang ibu, aku memang sangat risaukan tentang anakku yang bakal lahir ini. Mampukah aku dan suamiku untuk mendidik anak-anak kami menjadi insan yang berhati mulia, yang soleh dan solehah. Bukan itu sahaja malah daripada dulu lagi aku menginginkan zuriat-zuriat ku menjadi hamba Allah yang beriman, penegak kepada agama Islam. Moga kami lebih bersedia untuk mendidik anak-anak kami daripada segala sogokan-sogokan pemikiran barat. 


Ibu bapa sekarang harus tahu dan sedar bahawa mereka sekarang sedang berada di Medan Perang. Ya, medan yang sangat hebat, lebih hebat daripada berperang dengan senjata api. Yakni jika bersenjata kita sudah tentu nampak, namun propaganda Barat memerangi kita dengan teknologi-teknologi yang mereka cipta, dunia fesyen yang mereka keluarkan saban hari, media-media sosial yang semakin canggih dan advanced!, game-game hiburan yang bermacam-macam dan banyak lagi.

Boleh jadi dalam fikiran, kita sudah mendidik anak-anak kita dengan baik, namun mungkin disebabkan kurangnya satu sahaja yang mungkin kita terlepas pandang boleh menyebabkan anak-anak kita terjebak dalam dunia mereka (Barat). Contoh, kerana terlalu sayangkan anak-anak atau memanjakan mereka, kadang-kadang ibu ayah kurang tegas dalam mendidik. Mungkin kita tidak perasan atau mungkin kita sendiri yang sudah kecundang!

" Ibu, kawan-kawan abang semua pakai handphone, abang kan sudah besar, dah tingkatan lima pun. Abang bukannya tak score pun dalam pelajaran. Setiap kali exam abang dapat straight A's. Tak kan ibu tak kesian abang kena ejek dengan kawan abang disebabkan tak ikut peredaran masa kini?"

Sebagai ibu, apa jawapan anda berikutan pujuk manja anak anda di atas? Mungkin ada yang kesiankan anak, dan mungkin dengan alasan nak reward anak sebab dah selalu bagi ibu ayah bangga atas kejayaan yang dia berikan, lalu ibu atau ayah pun belikan lah handphone kepada si anak itu. Maka, bermulalah episod serangan pemikiran sedikit demi sedikit yang akan menjadi virus kepada anak itu. Kenapa begitu? Ya, bermula dengan handphone, lepas itu mengaktifkan account media-media sosial ( facebook, instagram, twitter, dan lain-lain), kemudiannya terlibat dalam dunia fesyen, dan sebagainya. Itu baru sahaja disebabkan kecuaian ibu dan ayah dalam mendidik dan hasutan atau pengaruh daripada rakan sebaya. Belum lagi disoal berkenaan didikan akidah dan sebagainya.

Secara konklusinya di sini, bersiap sedia lah kita dengan senjata-senjata mukmin untuk mendidik dan melahirkan anak-anak yang versi Sultan Muhammad Al Fateh, Muaz bin Jabbar, Abu Ubaidah, dan para sahabat RadhiAllahuanhum yang lain. Allahuakbar!


No comments:

Post a Comment